Sunday, April 20, 2014

Futures Gold Di Malaysia

FGLD : Platform Baru Pelaburan Emas Di Malaysia


BERMULA Isnin minggu depan, orang ramai mempunyai satu lagi platform untuk melabur dalam emas, iaitu menerusi Kontrak Niaga Hadapan Emas (FGLD) yang diniagakan di Bursa Malaysia Derivatives Bhd.

Untuk membuat pelaburan menerusi platform itu, apa yang perlu dilakukan bakal pelabur ialah membuka Akaun Dagangan Niaga Hadapan dengan syarikat broker niaga hadapan berlesen dan bertauliah daripada Bursa Malaysia Derivatives. 

Pelabur diperlukan membuat deposit margin asas kepada syarikat broker, dengan jumlah minimumnya ialah lapan peratus daripada nilai kontrak yang mahu diurusniagakan. 

Berdasarkan kepada harga semasa emas iaitu kira-kira RM142 satu gram atau RM142,000 sekilogram, satu kontrak FGLD ialah 100 gram, bernilai RM14,200. 

Semua kontrak akan disebut harga berdasarkan kepada harga penanda aras global urus niaga masa sebenar emas London AM Fix yang diniagakan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) di London. 

Urus niaga FGLD akan dijalankan dari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi sebelum berhenti rehat pada 12.30 tengah hari dan dibuka semula dari 2.30 petang sehingga 7 petang.

Berikutan FGLD adalah kontrak pasaran hadapan, Bursa Malaysia Derivatives menawarkan pelabur untuk berurus niaga dalam lapan kontrak bulanan, iaitu kontrak bagi bulan semasa atau bulan spot, kontrak untuk tiga bulan berikutnya serta empat bulan genap seterusnya bermula daripada bulan spot. 

Harga kontrak FGLD akan berubah sepanjang urus niaga harian mengikut pergerakan harga emas London AM Fix. 

Ketua Eksekutif Bursa Malaysia Derivatives, Chong Kim Seng, berkata kontrak niaga hadapan logam berharga pertama yang diniagakan dalam pasaran modal tempatan itu bertujuan menyediakan peluang pelaburan emas yang selamat kepada pelabur menggunakan pasaran derivatif. 

Pada masa sama, katanya FGLD yang diniagakan dalam Ringgit itu juga dapat bertindak sebagai sebuah instrumen lindung nilai kepada peserta industri emas tempatan. 

Beliau menegaskan, instrumen pelaburan baru itu juga akan mengukuh serta memperkayakan lagi pasaran modal di Malaysia dan menjadikan Bursa Malaysia sebagai sebuah pasaran derivatif yang pelbagai. 

“FGLD akan mengubah dan menggerakkan pasaran modal tempatan melangkaui niaga hadapan indeks saham, niaga hadapan bon, niaga hadapan kadar faedah, niaga hadapan komoditi pertanian. 

“Dengan mempelbagaikan produk niaga hadapan dan opsyen produk berkaitan niaga hadapan, ia akan mengukuhkan lagi urus niaga serta menambah peluang pelaburan kepada semua,” katanya pada majlis pelancaran FGLD di Kuala Lumpur, semalam. 

Pelancaran disempurnakan Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Ketua Eksekutifnya yang juga Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives, Datuk Tajuddin Atan. 

Chong berkata, meskipun FGLD pada awalnya direka bentuk untuk pelabur runcit, minat yang ditunjukkan oleh peserta industri emas adalah tinggi. 


Katanya, dengan emas berdepan turun naik harga yang tidak menentu sejak beberapa bulan lalu, ramai peserta industri mencari instrumen yang boleh membantu menangani ketidakstabilan pergerakan harga itu.

Sumber : Berita Harian